Kuala Lumpur, Ogos-
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju polis membuka semula kertas siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock, 15 tahun lalu.
Anwar berkata dalam pertemuan dengan keluarga Teoh di Putrajaya semalam, kerajaan beri jaminan siasatan dilaksanakan secara telus dan tanpa campur tangan khususnya mengambil kira pandangan Mahkamah Rayuan berhubung kes itu pada 5 Sept 2014.
“Hari ini saya telah bertemu dengan ahli keluarga mendiang Teoh Beng Hock di Putrajaya dan berbicara panjang bersama ibu bapanya, Teng Shuw Hoi dan Teoh Leong Hwee, di samping anak mendiang Teoh Er Jia dan adik mendiang Teoh Lee Lan.
“Saya mendengar segala keluhan dan beberapa permintaan daripada pihak keluarga. “Saya telah lama mengikuti rapat kes ini dan memahami kesedihan serta penderitaan keluarga yang telah sekian lama memperjuangkan keadilan buat mendiang,”katanya di Facebook.
Teoh, pembantu politik exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemukan meninggal dunia di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, beberapa jam selepas hadir untuk disoal siasat di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di tingkat 14 pada 16 Julai 2009.
Sehari sebelum itu, mendiang dipanggil memberi keterangan kepada SPRM dalam satu siasatan berhubung dakwaan salah guna wang kerajaan negeri.
Inkues koroner pada 2011 mencapai keputusan terbuka. Keluarganya memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan tiga tahun kemudian, mengetepikan keputusan terbuka tersebut.
Mahkamah Rayuan memutuskan kematian Teoh disebabkan pelbagai kecederaan akibat perbuatan menyalahi undang-undang oleh individu yang tidak diketahui.




















