Shah Alam, Apr-
Mayat seorang lelaki tempatan dijumpai selepas banjir dipercayai maut akibat renjatan elektrik di Kampung Padang Jawa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.11 petang semalam.
Siasatan awal mendapati, mayat mangsa seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun ditemui di dalam sebuah lot rumah satu tingkat di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
“Siasatan lanjut mendapati , mangsa dijumpai dalam keadaan tertiarap dengan memakai T-shirt tanpa lengan warna biru gelap dan memakai seluar pendek warna hitam.
“Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh simati yang boleh menyebabkan kematian,” katanya.
Mohd Iqbal berkata, siasatan awal mengesyaki mangsa terkena rentajan elektrik ketika mengunakan telefon bimbit yang sedang dicas dalam keadaan rumah dinaiki air banjir.
“Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang proses bedah siasat jam 10 pagi hari ini.
Kematian lelaki berkenaan adalah kes kedua maut dipercayai akibat renjatan elektrik.
Terdahulu, media melaporkan seorang warga Sri Lanka bersama seekor anjing ditemukan maut dalam kejadian banjir dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di sebuah stor menyimpan barang-barang pembinaan di Taman Alam Indah, Seksyen 25.























