Penyalahgunaan dadah amat membimbangkan – Zahid Hamidi

Putrajaya, May-
Isu penyalahgunaan dadah kini berada pada tahap yang amat membimbangkan dan menjadi ancaman besar kepada keselamatan awam, kestabilan ekonomi dan struktur sosial negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, berdasarkan data terkini terdapat 192,857 penyalahgunaan dan penagih dadah di Malaysia, dan 61 peratus daripadanya berusia antara 15 hingga 39 tahun pada 2024.

“Sebanyak 96 peratus kumpulan ini terdiri lelaki yang didorong oleh pengaruh rakan sebaya dan rasa ingin mencuba,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, negeri dengan kadar penyalahgunaan dadah tertinggi tertinggi ialah Kelantan dengan 1,130 individu per 100,000 penduduk, diikuti Terengganu (974), Perlis (965) dan Kedah (898).

Ahmad Zahid berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam pelaksanaan Dasar Dadah Negara (DDN) yang merangkumi pencegahan, rawatan, pemulihan, dan penguatkuasaan.

Beliau menegaskan bahawa perjuangan membanteras dadah adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat, termasuk rakyat serta pertubuhan masyarakat sivil.

“Demi generasi masa depan yang bebas daripada ancaman dadah, kita tidak akan berganjak walau seinci pun dalam memerangi musuh nombor satu negara ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here