Kuala Lumpur, Mei-
Polis menahan seorang wanita yang juga guru sebuah tadika swasta selepas disyaki mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.
Guru berusia 30 tahun itu ditahan sekitar jam 2 petang tadi oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, susulan laporan yang dibuat oleh bapa mangsa.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada Isnin, 26 Mei lalu sekitar jam 10 pagi.
“Pengadu yang juga bapa mangsa memaklumkan ketika berada di rumah dia mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala anaknya.
“Mangsa memberitahu kecederaan terbabit berpunca daripada tindakan seorang guru yang mencederakannya dengan menggunakan pen semasa berada di tadika,” katanya dalam satu kenyataan.
Noor Ariffin berkata, mangsa dirujuk ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut dan disahkan mengalami kecederaan ‘soft tissue injury’ di bahagian kepala.
“Semasa penahanan suspek siang semalam pihak polis turut merampas satu bekas berisi pen serta decoder kamera litar tertutup (CCTV) di tadika berkenaan bagi membantu siasatan.
Kejadian berkenaan didedahkan dalam laman sosial Facebook bekas guru Mohd Fadli Salleh, yang mendakwa menemani pengadu yang juga rakannya membuat laporan polis susulan kejadian yang menimpa mangsa, semalam.
Mohd Fadli mendakwa, mangsa mengalami trauma ketika setiap kali melalui sekolah tadikanya yang terletak di Kota Emerald, Rawang.



















