Kuala Lumpur, Jun-
Seorang juruukur maut dipercayai terjatuh ke lubang dianggarkan sedalam 27m dari tingkat lapan sebuah tapak pembinaan di Bukit Mertajam, semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri, berkata sepasukan pegawai penyiasatnya bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat pada 10.30 pagi.
Menurutnya, lelaki tempatan berusia 41 tahun itu bekerja sebagai juruukur (verticality surveyor) dengan syarikat subkontraktor di tapak pembinaan berkenaan.
Beliau berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan melalui lubang di “pressurisation shaft” ketika menjalankan kerja mengukur di kawasan lif lobi bangunan itu.
“Siasatan awal mendapati kawasan lubang terbabit hanya ditutup papan lapis dan berpagar, namun dipercayai tidak mencukupi untuk menampung beban atau memberi perlindungan kepada pekerja,” katanya menurut Bernama.
Hairozie berkata, JKKP Pulau Pinang mengeluarkan tiga notis larangan kepada kontraktor utama bagi menghentikan kerja berkaitan sehingga langkah keselamatan dipatuhi.
Katanya, kontraktor utama turut diarah menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada JKKP negeri.





















