Kota Tinggi, Sep-
Dua pemandu maut dalam nahas membabitkan dua kereta di simpang loji rawatan air (LRA) Semangar di sini, awal pagi tadi.
Pada kejadian kira-kira jam 7.09 pagi itu, seorang wanita berusia 47 tahun dan seorang lelaki berusia 37 tahun disahkan maut di lokasi kejadian selepas kedua-duanya terperangkap dalam kenderaan masing-masing akibat kemalangan itu.
Mayat kedua-dua mangsa dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan khas penyelamatan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Shahrulnizam Johari, berkata enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, punca kemalangan masih dalam siasatan dan Ketua Polis Daerah, Superintendan Yusof Othman, dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.




















