Kuala Lumpur, Mei-
Sebanyak 11 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai “Geng RT6” dari 2020.
A. Raja Ratanam, K. Sunthreson, C. Vijaya Kumar, N. Nadarajah, T. Raman, R . Vijayan, M. Kumaaran, N. Harichandran, S. Maran, Suwaran Singh Minder Singh dan Mohammad Atif Khan Mohammad Ali Khan yang berusia 22 hingga 48 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang “Geng RT6” di daerah Sentul antara 14 Januari 2020 hingga 27 April 2026.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap mereka dan menetapkan 24 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.





















