Treler terbakar dekat Plaza Tol Tapah arah utara

IPOH – Sebuah treler membawa muatan batu terbakar di Km324.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, petang tadi, namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya dimaklumkan berhubung kebakaran yang berlaku pada jarak kira-kira dua kilometer selepas susur keluar Plaza Tol Tapah itu pada 6.57 petang.

“Seramai 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tapah bersama sebuah jentera terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran treler yang membawa muatan batu ‘plate’,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, insiden itu menyebabkan bahagian kepala treler terbakar 70 peratus manakala pemandu sempat menyelamatkan diri dengan keluar daripada treler.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 8.13 malam,” katanya.

Sementara itu, jurucakap PLUS ketika dihubungi berkata tiada lorong yang ditutup akibat kejadian itu namun ia mengakibatkan trafik perlahan menghala ke utara sejak 8 malam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here