Bekalan air di dua wilayah hampir pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 6 SEPT: Bekalan air dua wilayah yang terjejas susulan henti tugas empat loji rawatan air sejak 3 September lalu, pulih lebih 90 peratus.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan kawasan tersebut ialah Hulu Selangor sebanyak 94.12 peratus sementara Kuala Selangor sejumlah 91.7 peratus.

“Sehingga jam 6.30 pagi hari ini, sebanyak 417 kawasan pulih sepenuhnya manakala 875 kawasan masih dalam proses pemulihan.

“Secara keseluruhan, 32.28 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual pulih sepenuhnya,” kata Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri.

Beliau berkata di wilayah Petaling, sebanyak 37.17 peratus kawasan mula menerima bekalan air, Klang dan Shah Alam (7.91 peratus), Gombak (11.31 peratus), Kuala Lumpur dan Kuala Langat (0 peratus).

Menurutnya, usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan ke kawasan yang masih terjejas.

“Air Selangor memohon kerjasama pelanggan yang sudah menerima bekalan untuk menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual.

“Air Selangor menyediakan pili awam dan pusat khidmat setempat bagi mendapatkan bekalan air bersih,” kata Elina lagi.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here