KPWKM Teruskan Kerjasama Dengan NGO Hasilkan Video Pendidikan Seks

PETALING JAYA –
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghasilkan video pendidikan seks untuk kanak-kanak melalui platform dalam talian pada tahun ini.

Timbalan menteri berkenaan, Hannah Yeoh berkata kerajaan percaya dengan penggunaan platform itu, ia dapat mendidik golongan muda, selain mendedahkan mereka cara yang betul untuk mendapatkan bantuan seandainya menjadi mangsa dalam jenayah seksual kanak-kanak.

“Kita akan bekerjasama dalam membangunkan kandungan bukan sahaja untuk kanak-kanak berusia 0 hingga 6 tahun, tetapi remaja juga.

“Perkara paling penting dalam penghasilan video seumpama ini ialah penyampaian maklumat serta bantuan kepada golongan kanak-kanak yang menjadi mangsa atau memerlukan bantuan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-70 World Vision Malaysia di sini, hari ini.

Pada 24 Jun tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan lima video pendidikan seks untuk kanak-kanak melalui platform YouTube sebagai usaha kerajaan mengurangkan jenayah seksual kanak-kanak di Malaysia.

Video berdurasi satu minit bagi setiap siri itu merupakan usaha kementerian dengan kerjasama NGO, Malaysians Against Pornography, selain Google selaku pengendali YouTube.

Yeoh menambah sehingga Disember lepas, kelima-lima video berkenaan telah mencecah empat juta tontonan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here