Kuala Lumpur, Apr-
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya di Jalan Bangsar, di sini, malam tadi menahan seorang lelaki warga China memandu sebuah ‘sports car’ Lamborghini tanpa lesen.
Kenderaan mewah milik lelaki itu yang juga seorang pencipta kandungan berusia 28 tahun, kemudian disita untuk tindakan lanjut.
Ketika pemeriksaan melalui Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 yang bermula jam 8 malam, pegawai penguat kuasa JPJ meminta lelaki itu mengemukakan lesen memandu sah.
Pemandu itu yang difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah di Damansara Heights bersama seorang individu dikatakan kekasihnya, bagaimanapun mengaku tidak memiliki dokumen terbabit.
Namun, lelaki itu mengemukakan pasport miliknya kepada pegawai terbabit dan mendakwa sudah menetap di negara ini sejak tujuh tahun lalu.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam, berkata lelaki itu ialah antara 211 pemandu diambil tindakan dalam operasi bersepadu dilaksanakan bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Beliau berkata, operasi itu membabitkan kekuatan 115 pegawai dan anggota yang menjalankan pemeriksaan terhadap 1,627 kenderaan secara keseluruhan.





















