Gunasekaren Minta Bicara Terhadap Satu Lagi Tuduhan Berkaitan LTTE

KUALA LUMPUR –
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P. Gunasekaren mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis di Melaka, dua tahun lepas.

Gunasekaren yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.Wakil rakyat berumur 61 tahun itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama Taman Ayer Keroh Heights, Melaka Tengah, Melaka, pada 8.30 malam 28 Nov 2018.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Peguam Harshaan Zamani yang mewakili tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan permohonan jaminan secara bertulis.

Pada 17 Dis lepas, Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka memindahkan kes Gunasekaren ke Mahkamah Tinggi di sini selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Di Mahkamah Tinggi berasingan, Gunasekaren turut menghadapi satu lagi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook atas nama ‘Dap Guna Palanisamy’ di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, di sini kira-kira 2 petang, 7 Okt 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here