16 Barang Disenarai SHMMP Tahun Baharu Cina

KUCHING –

Sebanyak 16 barangan disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2020 yang dikuatkuasakan selama 14 hari mulai hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen, berkata skim itu dilaksanakan sebagai langkah untuk membendung kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan berkenaan.

Beliau berkata, semua barangan yang disenaraikan itu mendapat permintaan tinggi pada perayaan berkenaan dengan penambahan tiga barang berbanding hanya 13 pada tahun lalu.

“Tiga barang keperluan utama yang baru disenaraikan tahun ini ialah cili merah, tomato dan ubi kentang China,” katanya pada sidang media selepas lawatan pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina 2020 di pasar raya Emart di Batu Kawa, di sini, hari ini.

Barangan keperluan yang disenaraikan dalam SHMMP ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, cili merah, tomato, ubi kentang China, bawang putih China, ikan bawal putih, udang putih besar, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Chieng Jen berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, pelaksanaan SHMMP menerima sambutan serta kerjasama yang baik daripada peniaga dan berharap keadaan itu berterusan.

Katanya lagi, pemantauan akan dilaksanakan di seluruh negara membabitkan lebih 3,000 penguatkuasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here