Tiga remaja berhadapan detik cemas apabila perahu yang dinaiki oleh mereka karam berhampiran Sungai Prima Bintawa, semalam.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Mohd Azreen Izwaini Arrifin (18), Mohd Shafazlie Mohd Norman (15) dan Aminul Rashid Arman (16) ditemui selamat daripada kejadian tersebut.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mereka menerima laporan mengenai kejadian tersebut sekitar jam 1.09 petang.
Sejurus menerima laporan, sebanyak tujuh anggota bomba dari Balai Bomba Tabuan Jaya dikerah ke lokasi kejadian menggunakan jentera FRT.
“Maklumat awal mengatakan sebuah perahu karam ketika mangsa menjalankan aktiviti memancing.
“Pelapor mengatakan perahu tersebut dinaiki oleh tiga remaja karam akibat terkena gelombang besar dari bot lain yang melalui sungai itu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Katanya, pemanggil memaklumkan kesemua mangsa telah diselamatkan oleh bot nelayan lain yang kebetulan lalu di kawasan tersebut dan dibawa ke tebingan Kampung Bintawa sebelum anggota bomba tiba.
Anggota bomba turut memastikan kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat sebelum berangkat balik ke balai dan operasi menyelamat ditamatkan pada jam 1.43 petang.