Tunku Azizah Nasihat Para Ibu Peka Kesihatan Anak

KUALA LUMPUR –

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menasihatkan para ibu agar menjaga kesihatan anak ketika penularan pelbagai penyakit ketika ini.

Baginda bertitah setiap ibu perlu peka dengan tahap kesihatan anak dan tidak memandang ringan sakit demam yang dihidapi anak mereka.

“Kepada para ibu, saya menasihatkan yang anak adalah anugerah Allah dan itu adalah tugas kita sebagai ibu untuk membesarkan anak kita dengan sihat.

“Jangan tunggu anak dah demam seminggu dua baru nak bawa ke hospital, kerana sekarang ini macam-macam jenis penyakit, ada Kawasaki (sejenis penyakit luar biasa yang disifatkan oleh peradangan salur darah di seluruh badan akibat jangkitan virus atau bakteria) saya dengar, ada Chikungunya,” titah Tunku Azizah.

Raja Permaisuri Agong bertitah demikian pada majlis perasmian Hospital Tunku Azizah (HTA) yang dahulunya dikenali sebagai Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, baginda diiringi Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah HTA Dr Roniyuzam Abdul Malek.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here