Polis menyelamatkan dua warga negara India dari restoran PJ

Petaling Jaya: Polis menyelamatkan dua pekerja restoran warga India yang mendakwa dipukul dan didera secara seksual oleh bekas penyelia dalam dua serbuan berasingan di daerah ini pada 17 dan 18 Jun lalu.

Serbuan itu dilakukan susulan pendedahan yang dibuat oleh seorang lelaki menerusi sebuah rancangan televisyen di India yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Berdasarkan keterangan lelaki berkenaan dalam video terbabit, dia menceritakan pengalamannya sendiri serta insiden menimpa rakannya yang didera ketika bekerja di restoran itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, selepas meneliti video berkenaan, pihaknya bersama Jabatan Tenaga Kerja serta Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran membuat pemeriksaan di restoran itu pada 17 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menyoal siasat enam pekerja tempatan dan seorang pekerja lelaki warga India.

“Lelaki warga India terbabit mengesahkan rakannya yang juga warga India cedera pada bahagian kaki akibat dibakar bekas penyelia restoran berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya turut menerima satu laporan daripada seorang wanita tempatan berhubung rakaman video rancangan televisyen berkenaan pada 18 Jun lalu.

“Bertindak atas maklumat itu, kami menyelamatkan dua lelaki warga India terbabit yang masing-masing berusia 22 serta 34 tahun menerusi dua serbuan di restoran berkenaan dan asrama pekerja pada 18 Jun lalu.

“Suspek yang juga bekas penyelia restoran berkenaan berusia 33 tahun pula ditahan dalam serbuan berasingan pada hari sama,” katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat dilakukan terhadap mangsa, mereka didapati bekerja di restoran berkenaan sejak awal tahun lalu manakala kejadian dera itu dipercayai berlaku pada Mac 2020.

“Semakan dilakukan mendapati suspek terbabit mempunyai enam rekod berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Menurutnya, suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga 24 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 (2) dan Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here