‘Terima Kasih Semua’ – Tun Dr Mahathir

“Terima kasih semua.”

Itu kapsyen video yang dimuat naik oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sejurus selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri Malaysia yang baharu semalam.

‘Don’t be shy, shy (jangan malu, malu),” kata seorang daripada mereka yang hadir di pejabatnya di Yayasan Al-Bukhary,  kepada Dr Mahathir semasa isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mahu memeluknya.

Negarawan berusia 94 tahun itu kemudian menjawab, “Sudahlah” sebelum beliau memeluk isterinya selepas diminta berbuat demikian oleh mereka yang hadir di pejabatnya.

Anak pasangan itu, Marina, dilihat merakamkan detik manis ibu bapanya itu.

Komen berkenaan secara amnya mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir atas kepimpinan dan sumbangan beliau sebagai perdana menteri keempat Malaysia dari 1981 hingga 2003, dan sekali lagi sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia pada 2018, selepas beliau menerajui Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14.

Terdahulu, negarawan berusia 94 tahun itu yang juga Ahli Parlimen Langkawi mengadakan sidang media berhubung situasi politik semasa di Yayasan Al-Bukhary, di sini.

Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri interim selepas meletak jawatan sebagai perdana menteri ketujuh pada 24 Feb.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kelapan Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalami.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here