COVID-19: Kampus UTHM di Pagoh tutup untuk dekontaminasi

Johor Bahru: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengumumkan penutupan seluruh premis universiti itu bagi kampus cawangan Pagoh untuk proses dekontaminasi mulai hari ini bagi membendung penularan COVID-19.

Menurut pekeliling rasmi Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Wahid Razzaly, pihak universiti akan menjalankan proses dekontaminasi melibatkan keseluruhan premis di kampus berkenaan yang akan dijalankan secara menyeluruh.

“Sehubungan itu, seluruh kampus UTHM Cawangan Pagoh akan ditutup bermula 16 Mac sehingga 19 Mac ini bagi memberi ruang kepada proses dekontaminasi untuk diadakan secara menyeluruh dengan baik,” katanya menerusi pekeliling itu yang dimuat naik dalam Facebook rasmi UTHM, tengah malam tadi.

Seluruh warga kampus terlibat dalam penutupan kecuali staf Pusat Kesihatan universiti, Pejabat Pembangunan dan Penyenggaraan serta Bahagian Keselamatan dan Kolej Kediaman.

Tambah beliau, proses kuarantin dan saringan akan terus berjalan mengikut tatacara sedia ada dan penempatan mereka yang terlibat akan dikekalkan sehingga sebarang keputusan hasil daripada proses saringan diperoleh.

“Semua staf akademik dan pentadbiran adalah dibenarkan untuk bekerja dari rumah dan staf tidak perlu merekod kehadiran keluar masuk di kampus. Rekod kehadiran bagi kesemua staf yang terlibat akan dikemas kini secara automatik oleh Pejabat Pendaftar,” kata Wahid.

Beliau berharap agar semua pihak sentiasa mematuhi langkah pencegahan bagi mengelak penularan COVID-19 daripada berleluasa.

Semalam, UTHM mengesahkan seorang petugas universiti itu positif COVID-19 dan kini dirawat di Hospital Permai, di sini.

 

-BERNAMA-

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here