KUALA LUMPUR:
Hanya seorang wakil dari setiap rumah di kawasan dipagar kawat berduri yang dikenakan kawalan secara pentadbiran di sekitar Jalan Pudu, di sini, dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan bermula kelmarin.
Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, memaklumkan wakil itu juga perlu disahkan bebas daripada jangkitan COVID-19.
“Mereka perlu memakai pelitup muka selain mengamalkan penjarakan sosial.
“Pastikan tangan sentiasa dibasuh menggunakan air dan sabun.
“Penduduk perlu membuat perancangan keperluan harian yang hendak dibeli bagi mengurangkan kekerapan keluar rumah bagi tujuan berkenaan,” katanya.
Makluman CPRC itu dinyatakan menerusi pekeliling yang ditampal anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di beberapa premis dekat Jalan Pudu, di sini, hari ini.
Menurut notis itu, peniaga kawasan terbabit pula perlu menjalankan proses sanitasi jika mendapati premis mereka ada kemungkinan terdapat jangkitan COVID-19.
“Peniaga kena bertanggungjawab jalankan proses sanitasi sendiri kalau perlu.
“Namun, proses itu perlu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP)
Kementerian Kesihatan,” katanya.