bersatu masih bersama PH – kata tun m

PUTRAJAYA:

Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masih bersama Pakatan Harapan (PH) dan mendakwa keputusan membabitkan parti itu dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin secara bersendirian.

Beliau yang mempertahankan jawatan Pengerusi BERSATU selepas tiada pencalonan lain diterima bagi jawatan itu pada pemilihan parti tidak lama lagi, juga mendakwa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU tidak pernah membuat keputusan keluar daripada PH.

“Sehinggalah keputusan dibuat (oleh MPT) untuk meninggalkan (PH). Jika kita mahu keluar (daripada PH), kita keluar,” katanya pada sidang media BERSATU, PH dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Dr Mahathir mendakwa, segala keputusan diambil Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, tidak melalui parti itu.

“Dia buat keputusan tanpa Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU. Hari ini dia sudah isytiharkan BERSATU sebahagian daripada Perikatan Nasional,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan membentuk Kabinet bayangan untuk mengukuhkan kedudukan PH, Dr Mahathir berkata, langkah berkenaan adalah retorik.

Muhyiddin pada 24 Februari lalu mengumumkan BERSATU keluar PH melalui keputusan yang dibuat dalam mesyuarat khas MPT parti berkenaan sehari sebelum itu, sekali gus semua Ahli Dewan Rakyat daripada BERSATU juga keluar pakatan berkenaan.

Presiden BERSATU itu dilaporkan berkata, keputusan terbabit dibuat dengan mengambil kira perkembangan politik semasa dan masa depan negara.

Sementara itu, Dr Mahathir menganggap pertukaran tampuk pentadbiran beberapa negeri yang tidak lagi memihak kepada PH menunjukkan kerajaan lebih banyak berpolitik berbanding menumpukan kepada isu pentadbiran negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here