Etnik minoriti UK berisiko maut akibat Covid-19

Etnik minoriti Britain yang sejak bertahun lamanya diabaikan kini menjadi kumpulan berisiko tinggi terdedah pada pandemik Covid-19.

Kumpulan merangkumi warga kulit hitam, Asia dan etnik minoriti lain atau digelar BAME (Black, Asian, minority ethnic), sememangnya lebih berisiko menghidap kencing manis, penyakit jantung dan kegemukan.

Namun, faktor genetik tidak dapat menjelaskan sepenuhnya mengapa kumpulan itu menghadapi ketidakseimbangan terbabit, menurut laporan hasil kajian selama enam bulan oleh aktivis minoriti, Doreen Lawrence.

Laporan itu ditaja oleh parti utama pembangkang, Parti Buruh, yang bakal dijadikan asas kritikan politik terhadap cara Parti Konservatif menguruskan pandemik, hingga Britain mencatat jumlah kematian tertinggi di Eropah.

Lawrence berkata, individu kulit hitam, Asia dan etnik minoriti lain terdedah, tidak dilindungi, berdepan stigma serta diabaikan bukan saja ketika pandemik, sebaliknya sudah berlarutan sejak sekian lama.

“Kesan Covid-19 bukan secara rambang, sebaliknya sudah dijangka dan tidak dapat dielakkan akibat kesan ketidakadilan struktur, penindasan rata dan diskriminasi sejak puluhan tahun dalam masyarakat kita.

“Kita berada dalam krisis yang boleh dielakkan. Laporan ini adalah rayuan memohon pertolongan untuk memecahkan corak yang jelas lagi tragik ini,” katanya dalam laporan berkenaan.

Lawrence antara individu disegani dalam kempen menentang ketidakadilan kaum sejak anak lelakinya yang berusia 18 tahun, Stephen, ditikam sehingga mati oleh kumpulan remaja berkulit putih pada 1993.

Beliau dilantik sebagai Baroness di House of Lords di Parlimen United Kingdom (UK) pada 2013.

Laporan yang dihasilkannya adalah berasaskan kajian oleh ahli statistik kerajaan, yang mendapati individu kulit putih Britain kurang berisiko maut akibat Covid-19 berbanding kumpulan etnik lain, kecuali bangsa Cina.

Individu kulit hitam negara itu pula didapati empat kali ganda lebih berkemungkinan maut berbanding kumpulan kulit putih.

Menurut laporan itu, jika kadar kematian individu kulit putih sama dengan individu kulit hitam, Britain mungkin mencatatkan lebih 58,000 lagi kematian akibat penyakit itu berbanding hampir 45,000 kematian sekarang.

Memetik beberapa penyelidik, laporan itu menjelaskan, faktor genetik tidak membuktikan mengapa setiap kumpulan etnik minoriti berisiko tinggi maut akibat Covid-19 berbanding individu kulit putih.

“Sebaliknya, ketidaksamaan ini berkemungkinan berpunca daripada struktur dan institusi bersifat perkauman… dan akses berbeza untuk penjagaan kesihatan,” jelas laporan itu .

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here