FAM Sedia SOP Latihan

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan perbincangan bagi menentukan tatacara operasi piawai (SOP) yang sesuai untuk latihan pusat skuad kebangsaan dalam menghadapi baki tiga perlawanan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dijadual pada Oktober dan November ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, badan induk itu akan menyediakan SOP bagi kem latihan pusat dengan pendekatan secara kuarantin yang akan dihantar kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat berpandukan SOP Sektor Sukan dan Rekreasi Fasa 2 dikeluarkan KBS semalam.

Beliau berkata FAM juga akan melaksanakan SOP bersesuaian untuk kem latihan pusat skuad Bawah 19 (B-19) kebangsaan kendalian Brad Maloney bagi menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.

“FAM amat berterima kasih kepada pihak kerajaan yang meluluskan kebenaran bagi aktiviti latihan bola sepak bermula semula mengikut syarat dan SOP, terutamanya kepada (Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin (Yassin), (Menteri Kanan Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan (Menteri Belia dan Sukan) Datuk Seri Reezal Merican (Naina Merican) atas segala bantuan yang telah dihulurkan kepada FAM.

“Sudah tentu, ini merupakan satu berita gembira kepada seluruh warga bola sepak di Malaysia yang sudah hampir tiga bulan terpaksa menghentikan segala aktiviti bola sepak di semua peringkat sejak saingan Liga Malaysia 2020 ditangguhkan berkuat kuasa 16 Mac 2020 dan diikuti dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bermula 18 Mac 2020,” kata Stuart dalam kenyataan dikeluarkan FAM, semalam.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pentadbir Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan mengeluarkan SOP kembali ke latihan di padang terbuka dan juga akan menghubungi pasukan-pasukan berkenaan dalam masa terdekat bagi memberi penerangan berhubung SOP yang telah disediakan.

Beliau berkata, FAM sudah menyediakan SOP kembali ke latihan di padang terbuka bagi akademi-akademi bola sepak khususnya yang terlibat dengan program pembangunan di peringkat akar umbi, dan SOP itu diselaraskan dengan garis panduan baharu Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan kelancaran latihan bermula 15 Jun ini.

“Bagi aktiviti bola sepak secara sosial dan riadah, FAM akan mengeluarkan satu garis panduan cadangan untuk diikuti oleh semua yang terlibat bagi menjamin kesihatan dan keselamatan semua agar tidak terdedah kepada kemungkinan terjadinya penularan semula pandemik Covid-19,” jelas Stuart.

Sehubungan itu, katanya FAM berharap semua yang terlibat dalam bola sepak dapat mengekalkan disiplin diri untuk mengikut segala SOP serta ketetapan agar kelonggaran yang telah diberikan kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesihatan dan kelangsungan sukan bola sepak di negara ini.

Katanya FAM akan memberikan informasi terkini dari semasa ke semasa untuk makluman seluruh warga bola sepak supaya mereka dapat terus kekal sihat dan beraktiviti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here