269 warga Rohingya yang cuba menceroboh perairan Langkawi ditahan awal pagi semalam dengan pihak berkuasa turut menemukan mayat seorang wanita dalam bot yang dinaiki pendatang tanpa izin itu.
National Task Force (NTF) dalam kenyataan berkata, kesemua mereka ditahan pada kira-kira jam 5 pagi semalam hasil maklumat Pegawai Pemerintah Maritim Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Langkawi beberapa jam sebelum itu.
Menurut kenyataan itu, sebuah bot Pasukan Polis Marin (PPM) dan Kapal Maritim (KM) Kimanis dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah diatur gerak ke kawasan terlibat untuk melaksanakan operasi pemantauan dan pengusiran bot terbabit ke perairan antarabangsa.
“Ketika KM Kimanis menghampiri bot itu, seramai 53 warga Rohingya telah terjun ke laut dan berenang menuju ke pantai dan kesemua mereka telah berjaya ditahan oleh anggota APMM yang telah bersedia di daratan.
“Selain itu, pemeriksaan ke atas bot mendapati seramai 216 warga Rohingya dan mayat seorang wanita turut ditemukan di dalam bot itu,” menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, pemeriksaan juga mendapati bot berkenaan telah sengaja dibocorkan manakala enjinnya turut mengalami kerosakan yang teruk dan tidak dapat dibaiki seterusnya tindakan pengusiran tidak dapat dilakukan.
KM Kimanis turut memberikan bantuan berupa makanan dan air bersih kepada pendatang tanpa izin itu dan atas dasar kemanusiaan, Majlis Keselamatan Negara telah membenarkan bot berkenaan ditunda ke Jeti Teluk Ewa Langkawi.
“Kesemua 269 pendatang tanpa izin itu kini ditahan dan diletakkan sementara di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi manakala mayat itu telah diserahkan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu.