COVID19: Selangor catat peningkatan kes

Selangor mencatatkan peningkatan kes positif baharu selama empat hari berturut-turut.

Daerah Sepang pula menghampiri zon merah apabila merekodkan 40 kes aktif semalam berbanding 11 kes kelmarin.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan COVID-19 Selangor (STFC) di laman web menteri besar, amirudinshari.com, peningkatan mendadak itu berikutan pertambahan 29 kes baharu di mukim Labu, dekat sini.

Kenyataan STFC itu turut memaklumkan, secara keseluruhan, 53 kes baharu direkodkan di Selangor, semalam menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan COVID-19 mencecah 1,829 kes.

“Tiada lagi kelonggaran Aidilfitri pada hari ini (semalam) dan warga Selangor diminta untuk patuh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) sepenuhnya.

“Sekiranya tiada keperluan keluar, duduk di rumah dan gunakan teknologi dan media sosial untuk eratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Selain itu, Daerah Hulu Langat juga terus mengalami peningkatan dalam kes baharu sehingga 12 tengah hari semalam, iaitu sebanyak 18 kes.

Ia menjadikan kes aktif di daerah itu kini mencecah 124 kes dan secara keseluruhan 610 kes.

Sementara itu, selain Sepang, enam daerah lain yang masih kekal di zon kuning adalah Petaling (26), Gombak (22), Kuala Selangor (9), Hulu Selangor (16), Klang (empat), dan Sabak Bernam (tiga)) manakala Kuala Langat pula kekal di zon hijau.

Setakat ini, sejumlah 1,503 kes sembuh dicatatkan manakala kes aktif meningkat kepada 244 berbanding 195 semalam dan kematian kekal pada angka 22.

Untuk makluman, daerah yang mempunyai 41 kes aktif dan ke atas dikategorikan sebagai zon merah manakala bagi yang mempunyai satu hingga 40 kes adalah zon kuning.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here