Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, pada sambutan Aidiladha kelak, polis tidak lagi akan pergi rumah ke rumah untuk memantau orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ziarah-menziarahi sempena perayaan itu.
Beliau berkata, orang ramai perlu mengawal diri sendiri, keluarga dan masyarakat bagi menjamin keselamatan semua pihak daripada jangkitan wabak Covid-19.
“Sekarang ini isu berkaitan perayaan tidak ada. Jadi polis tidak lagi akan buat pemantaun rumah ke rumah seperti waktu minggu pertama perayaan sebelum ini.
“Walaupun tidak ada polis akan mengawal, untuk keselamatan diri, kitalah jaga diri kita sendiri dan keluarga. Tiada lagi barisan hadapan, maka kitalah patut jadi barisan hadapan,” katanya pada sidang media hariannya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah polis akan membuat pemantauan ke rumah ketika perayaan, termasuk pemeriksaan aktiviti ziarah.