Bekalan kurang 40 peratus, MB gesa rakyat derma darah

Rakyat Selangor digesa menderma darah berikutan negara mengalami kekurangan bekalan pada kadar 40 peratus sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bekalan darah adalah sumber penting untuk membantu pesakit terutama mereka yang perlu menjalani pembedahan kompleks.

“Datanglah menderma di Hospital Tengku Ampuan Rahimah yang merupakan pusat kutipan darah di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) bagi Selangor atau kunjungi mana-mana program derma darah anjuran Pusat Darah Negara di negeri ini,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Beliau berkata demikian sempena Hari Derma Darah Sedunia anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 2,000 beg darah secara puratanya didermakan rakyat Malaysia serta digunakan untuk membantu 1,000 pesakit setiap hari.

Katanya, melalui sumbangan itu, ramai nyawa insan dapat diselamatkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here