Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui udara antara Malaysia dan Singapura diperluaskan dengan membuka satu lagi laluan baharu iaitu Pulau Pinang-Singapura bermula 16 Mac. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan Malaysia dan Singapura telah mencapai persetujuan bersama untuk memperluaskan inisiatif VTL itu.
Inisiatif VTL ini akan membolehkan pengembara yang telah divaksin sepenuhnya untuk melakukan perjalanan ulang alik bagi laluan Pulau Pinang-Singapura menggunakan syarikat penerbangan yang mengambil bahagian di bawah VTL tanpa perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan katanya.
Wee berkata VTL Pulau Pinang-Singapura akan bermula dengan empat penerbangan sehari yang dioperasikan oleh syarikat penerbangan di Malaysia dan Singapura. Penjualan tiket penerbangan udara VTL akan bermula dalam masa terdekat, katanya.




















