Geng curi motosikal Shah Alam ditumpas

Dua kumpulan curi motosikal sekitar Shah Alam, ‘Geng Yusri Ken Rimba dan Geng Cepet berjaya diberkas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam susulan Op Lejang Khas Bersepadu, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejayaan menumpaskan sindiket itu hasil penahanan sembilan suspek di Ken Rimba Seksysen 16 Shah Alam, Kampung Delek Klang dan Bandar Baru Selayang Batu Caves.

  “Kedua-dua sindiket ini tumpas dalam Op Lejang Khas Bersepadu IPD Shah Alam yang dilancarkan bermula 5 hingga 16 Jun 2020.

“Dengan tumpasnya kumpulan ini, pihak polis Shah Alam berjaya menangkap 9 lelaki Melayu, disyaki terlibat dengan jenayah curi motosikal di dalam daerah Shah Alam sejak tahun lalu,” katanya pada sidang media di IPD Shah Alam, hari ini.

  Menurutnya, kesemua tangkapan berumur di antara 15 hingga 35 tahun di mana ada yang tidak bersekolah dan juga tidak bekerja.

“Kesemua tangkapan mempunyai rekod lampau jenayah curi motosikal dan juga pernah terlibat dengan dadah.

“Manakala seorang yang berumur 21 tahun masih berstatus dikehendaki kerana melanggar perintah pengawasan bersabit Temoh Rpt: 825/2019,” katanya.

Katanya, dalam operasi sama, pihak berjaya menemui dan merampas motosikal curi membabitkan empat unit lengkap dan enam rangka serta komponen yang telah dileraikan.

  “Sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang digunakan semasa kejadian tiada rekod hilang, dua motosikal jenis Honda EX5 dan Modenas MR1 dilaporkan hilang di Sri Muda serta sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ juga dilaporkan hilang,” jelasnya.

Jelasnya, kedua-dua sindiket itu melakukan jenayah curi motosikal dengan membuka lampu serta mencabut wayar bagi menghidupkan enjin serta menunda di sekitar kawasan parit awam, apartment dan flat di sini.

“Motosikal ini untuk kegunaan sendiri dan juga untuk mendapatkan alat ganti komponen.

“Hasil siasatan awal mendapati kumpulan-kumpulan ini aktif melakukan jenayah curi motosikal sejak awal 2019,” katanya.

Katanya lagi, kejayaan Op Lejang Khas Bersepadu itu berjaya menyelesaikan 25 kes jenayah curi motosikal di dalam daerah Shah Alam.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan seramai 6 suspek telah dijamin polis sementara menunggu siasatan lengkap.

“Manakala 5 suspek lagi masih dalam tahanan reman polis selama 7 hari sehingga 21 Jun ini untuk siasatan lanjut,” katanya lagi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here