JKN Kedah giat kesan kontak rapat Kluster PUI Sivagangga

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sedang giat mengesan kontak rapat pemilik dan pekerja di sebuah kedai nasi kandar di Napoh, Jitra bagi mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di Kedah.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, pihaknya juga sedang mendapatkan maklumat terperinci pergerakan pesakit supaya siasatan lanjut dapat dijalankan di kawasan-kawasan yang dikunjungi mereka.

“Siasatan sedang dijalankan di kawasan berkenaan dan semua kontak yang berkemungkinan terlibat disaring dan bagi yang memenuhi kriteria yang ditetapkan, sampel mereka akan diambil dan diuji bagi mengetahui sama ada mereka positif atau negatif wabak terbabit,” katanya dalam suatu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut,Dr Mohd Fikri berkata, pihaknya juga tidak mengeluarkan sebarang arahan penutupan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sebagaimana yang tular di media sosial sejak pagi tadi.

Gambar tular yang menunjukkanpenduduk di kawasan Napoh sedang menanti giliran untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Napoh.

“Tiada arahan penutupan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ia mungkin arahan daripada pentadbiran tabika Kemas sebagai langkah awal untuk memastikan tidak berlaku penularan wabak tersebut,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat kluster baharu telah dikenalpasti di Kedah iaitu Kluster PUI Sivagangga, India. Kes indeks berkenaan membabitkan seorang pemilik kedai makan dan empat kes positif dalam kluster terbabit ialah pekerja kedai itu.

Premis berkenaan sudah ditutup bagi menjalani proses pembersihan dan nyahkuman.

Sementara itu, tular di laman sosial kes penutupan beberapa Tabika Kemas di sekitar Jitra berikutan terdapat waris murid yang positif Covid-19 selepas dipercayai kontak rapat kepada pesakit dari kluster berkenaan. Turut tular beberapa keping gambar penduduk di sekitar Napoh menjalankan ujian saringan di Klinik Kesihatan Napoh, hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here