MB: Ketua kampung, ahli majlis perlu lebih aktif

Ketua kampung dan ahli majlis di Selangor perlu bergerak lebih aktif ketika melaksanakan tanggungjawab, saran Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebagai wakil Kerajaan Negeri, mereka berperanan penting memelihara dan menjaga kehidupan masyarakat setempat.

“Saya berkesempatan bertemu pimpinan masyarakat seperti ketua kampung dan ahli majlis bagi memberi arahan baharu dan sokongan kepada mereka.

“Peranan pemimpin akar umbi termasuk aktivis amat penting sebagai wakil Kerajaan Negeri yang berdepan secara terus dengan masyarakat,” katanya pada program lawatan dan perbincangan bersama ketua masyarakat, yang dipertua Majlis Perbandaran Selayang dan pegawai daerah Gombak pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Kampung Changkat Mukim Setapak Rosli Abd Ghani berkata Amirudin banyak memberi kata perangsang dalam pertemuan tersebut.

“Dato’ Menteri Besar juga mahu kami bertindak dan membantu Kerajaan Negeri melakukan yang terbaik. Pada pertemuan tersebut, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan RM35,000 kepada tujuh ketua kampung mukim Setapak,” katanya.

Rosli berkata RM350,000 turut diperuntukkan bagi membaiki jalan dan sistem saliran untuk mengatasi banjir kilat di kawasan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here