Op Benteng: APMM tahan bot bawa lima pendatang tanpa izin

 

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menahan sebuah bot nelayan asing yang membawa lima krew warga Indonesia berhampiran perairan Hutan Melintang, hari ini.

Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dalam satu kenyataan malam ini menyatakan, bot yang dipercayai dalam perjalanan ke Bagan Sungai Burung, Selangor, itu dikesan bot Petir 80 yang berada di perairan itu, kira-kira pukul 9.05 pagi.

“Pada pukul 9.20 pagi, maklumat mengenai bot itu dipanjangkan ke Kapal Maritim (KM) Malawali bagi tindakan pengusiran, namun bot itu telah tenggelam akibat kebocoran berdasarkan maklumat awal kira-kira pada pukul 9.40 pagi.

“Krew Petir 80 bertindak menyelamatkan lima pendatang tanpa izin itu dan siasatan kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebocoran, sama ada akibat sengaja dibocorkan atau sebaliknya,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Petir 80 bertindak membawa kelima-lima krew warga Indonesia itu ke Jeti Hutan Melintang untuk melakukan ujian swab, sebelum diserahkan kepada pihak Maritim Negeri Perak pada pukul 10.20 pagi.

“Kesemua mereka juga dibawa ke Klinik Kesihatan Sitiawan untuk ujian saringan Covid-19 pada pukul 1 tengah hari dan diletakkan di pusat transit sementara di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Manjung, sehingga keputusan ujian diperolehi,” kata kenyataan itu.

NTF menerusi Op BENTENG komited memperkasa perbatasan daratan dan maritim negara daripada sebarang pencerobohan pendatang tanpa izin, bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here