Bosan berkurung, WHO beri amaran fasa baharu, berbahaya Covid-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran mengenai fasa baharu dan berbahaya Covid-19 apabila orang ramai mula bosan dengan perintah berkurung dan kawalan pergerakan.

Kebimbangan penularan virus yang membunuh lebih 454,000 dan menjangkiti 8.4 juta penduduk dunia timbul selepas beberapa bahagian di Asia dan Eropah mula meredakan langkah kawalan, lapor AFP.

“Perintah berkurung bagi mengekang penularan penyakit itu melumpuhkan ekonomi, tetapi WHO terus mengingatkan pandemik masih menimbulkan ancaman besar kepada penduduk dunia.

“Dunia berada dalam fasa baharu dan berbahaya. Ramai yang bosan berada di rumah, tetapi virus itu terus menular dengan cepat,” kata Ketua WHO pada sidang media maya pada Jumaat.

Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa negara dan rakyat untuk tetap berwaspada kerana jumlah kes dilaporkan kepada badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mencapai puncak baharu.

“Pandemik semakin meningkat apabila lebih daripada 150,000 kes baharu Covid-19 dilaporkan kepada WHO semalam, yang paling banyak dalam satu hari setakat ini,” katanya.

Tedros berkata usaha menghasilkan vaksin belum berjaya walaupun terdapat beberapa percubaan, sementara saintis menemui lebih banyak penemuan mengenai virus, gejala dan sejauh mana penyebarannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here