Covid-19: Pusat tahfiz rekod tujuh kes baharu di Selangor

Tujuh pusat tahfiz di Selangor masing-masing merekodkan satu kes baharu positif Covid-19 sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor memaklumkan, kes dikesan menerusi saringan di Sepang iaitu tiga kes diikuti Klang (dua) serta masing-masing satu di Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

“Kes di Sepang membabitkan Maahad Tahfiz Al-Ansori, Pusat Tahfiz Al-Quran Al-Ulum dan Madrasah Uthmaniyah Smart Tahfiz manakala Klang iaitu Pusat Tahfiz Al-Amin dan Pusat Tahfiz Jeram.

“Bagi Kuala Selangor pula kes saringan di Pondok Motivasi Hamlatul Quran selain Akademi Integrasi Tahfiz Al-Falah di Hulu Selangor,” kata agensi berkenaan dalam kenyataan.

Selain kluster pusat tahfiz, Sepang dan Kuala Selangor turut mencatatkan kes positif membabitkan kontak rapat.

JKN Selangor memaklumkan satu kes membabitkan petugas hadapan bukan pegawai kesihatan dikesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama, Kuala Langat.

Sebanyak 12 daripada 21 kes Covid-19 di seluruh negara hari ini dicatatkan di Selangor dengan dua daripadanya kes import membabitkan warga Malaysia dan bukan warganegara iaitu permastautin tetap yang pulang daripada Surabaya, Indonesia.

Secara keseluruhan Hulu Langat mencatatkan kes kumulatif tertinggi dengan 630 kes diikuti Petaling (436), Gombak (257), Klang (189), Hulu Selangor (76), Kuala Selangor (69), Kuala Langat (64) dan Sabak Bernam (30).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here