Selangor berpotensi perluas tanaman durian

Selangor berpotensi bagi tanaman durian kerana memiliki akses mudah daripada aspek logistik dan agropelancongan, kata penolong pengarah kanan, cawangan pendidikan pasaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor.

Mohd Firdaus Ab Aziz berkata hasil penanamannya boleh menjadi penyumbang kepada pendapatan negara sebagai menggantikan tanaman lain yang kurang menghasilkan pulangan dan produktif.

“Durian klon komersial seperti D197 atau Musang King dikategorikan sebagai sumber kekayaan baharu negara selain kelapa, nanas, jagung bijirin dan tenusu.

“Durian boleh ditanam atau diusahakan di mana-mana sahaja dengan kaedah betul selain pengusaha perlu memastikan bekalan air mencukupi, pembajaan dan pengurusan ladang yang sesuai sebaliknya tidak boleh tanam, tinggal dan tuai sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata Malaysia turut menjadi pengeksport durian D197 atau Musang King kepada hampir 20 negara termasuk Singapura, China, Korea dan Amerika Syarikat.

“Di sini (Malaysia) dilihat potensi besar tanaman durian Musang King khususnya untuk diusahakan pengusaha tempatan, malah selepas dibenarkan secara rasmi tahun lalu untuk mengeksportnya secara sejuk beku dalam bentuk biji (whole fruits), jumlah eksport komoditi terus meningkat.

“Bagaimanapun, hanya durian daripada klon D197 dan D24 dibenarkan memasuki pasaran China dalam bentuk biji, pulp dan pes,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here