Sepasang suami isteri terselamat selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam parit besar dalam kejadian di kilometer 24, Jalan Papar Lama – Kota Kinabalu, semalam.
Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, pemandu lelaki berusia 49 tahun dan isterinya 39 tahun dikatakan bergerak dari Kinarut menuju ke Kampung Kawang, di sini.
Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, keadaan hujan lebat menyebabkan kenderaan Proton Saga mereka tiba-tiba hilang kawalan dan terjunam ke dalam parit besar di kiri jalan.
Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan berikutan hujan lebat.
Katanya, sebaik terjunam ke dalam parit, pemandu bersama isterinya berjaya keluar dari kenderaan itu dengan bantuan orang awam.
“Kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan serius.
“Kes itu disiasat mengikut Peraturan 10 LN166/59,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.