‘OPS TAPAU’ Berjaya tahan penjual telur penyu di media sosial

Seorang lelaki yang menjalankan aktiviti menjual telur penyu berjaya ditahan dalam operasi Ops Tapau yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hidupan Liar, hari ini.

Dalam serbuan jam 11 pagi itu, lelaki berusia 21 tahun terbabit ditahan bersama 20 biji telur penyu di kawasan parkir Servay Hypermarket, Putatan, di sini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung aktiviti lelaki terbabit.

Katanya, hasil siasatan, Jabatan Hidupan Liar berjaya mengesan individu terbabit dan mengenalpasti modus operandi yang digunakan suspek.

“Hari ini, kita berjaya mengesan suspek dan melakukan pemeriksaan terhadap Proton Wira miliknya selepas didapati aktif memasarkan telur penyu menerusi laman sosial facebook miliknya.

“Anggota penguatkuasa kemudiannya berjaya merampas 20 biji telur disyaki telur penyu di dalam plastik berwarna hijau yang mengandungi dua bekas makanan berisi 10 biji telur setiap satu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Augustine berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan sebelum tindakan selanjutnya diambil terhadap suspek yang juga warga tempatan.

Sementara itu, Augustine mengingatkan semua lapisan masyarakat untuk membantu melindungi spesis penyu yang juga haiwan dilindungi sepenuhnya di dalam Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Katanya, hal itu termasuk hasil haiwan berkenaan khususnya telur penyu.

“Ia adalah satu kesalahan bagi mana-mana individu untuk menyimpan atau memiliki haiwan atau hasil haiwan berkenaan tanpa kebenaran yang sah dari Jabatan Hidupan Liar Sabah.

“Memiliki haiwan atau hasilnya dari spesis yang tersenarai dalam Bahagian I, Jadual I, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, iaitu haiwan yang dilindungi sepenuhnya, boleh dihukum dengan denda tidak kurang dari RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000.

Selain itu katanya, pesalah turut boleh dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang 1 tahun dan tidak melebihi 5 tahun, jika sabit kesalahan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here