Anwar gesa kerajaan PN adakan sidang Parlimen segera

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan Perikatan Nasional mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin bagi menjunjung tinggi institusi itu sebagai tiang seri demokrasi dan negara hukum.

Gesaan itu dikemukakan Ketua Pembangkang itu susulan beliau mendakwa kerajaan sekarang tidak ada keabsahan, tetapi berterusan menginjak setiap aspek demokrasi termasuk terus mengelak untuk mengadakan sidang Parlimen atau Dewan Rakyat.

“Gejala ini ternyata tidak berlaku di negara-negara maju yang lain termasuk jiran kita Singapura.

“Amatlah wajar untuk kita terus menggesa kerajaan hari ini untuk mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin dan menjunjung tinggi institusi Parlimen sebagai tiang seri demokrasi dan negara hukum,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau sempena Hari Parlimen Sedunia 2020 yang disambut hari ini.

Anwar berkata, badan legislatif terutamanya institusi Parlimen adalah institusi terpenting negara dengan ia tidak sekadar tempat mewujudkan undang-undang baharu yang akan mengesankan segenap populasi negara, tetapi berfungsi sebagai badan pengimbang kepada cabang eksekutif.

Menurutnya, konsep itu diterima pakai di semua negara demokrasi atau semi demokrasi di dunia.

“Laman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyebut Parlimen menjadi lebih penting tatkala perang atau kemelut, apatah lagi di kala pandemik (koronavirus) Covid-19 kini.

“Pada saat pandemik Covid-19 ketika ini, institut itu amat diperlukan untuk meluluskan undang-undang baharu, peruntukan kecemasan, memastikan kebertanggungjawaban dan atau meneliti setiap tindakan kerajaan agar kebocoran atau kecurangan dapat dielakkan,” katanya.

Persidangan Parlimen yang berlangsung selama sehari pada 18 Mei lalu dengan hanya menetapkan urusan Titah Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dipertikaikan blok pembangkang kerana tempoh masa begitu singkat.

Kerajaan Perikatan Nasional mendakwa tempoh persidangan Parlimen dipendekkan untuk tempoh sehari bagi membendung penularan Covid-19.

Bagaimana pun, blok pembangkang mendakwa keputusan itu dibuat bagi mengelakkan usul undi tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikemukakan oleh mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here