71,289 bahan prasejarah ditemui di tapak pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri

Gua Musang, Ogos-
Sejumlah 71,289 sumber khazanah warisan dan bahan prasejarah ditemui di kawasan Lembah Nenggiri, di sini, yang menjadi tapak pembinaan empangan hidroelektrik.

Pengarah Bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara, Zaharudin Abu, berkata jumlah berkenaan termasuk membawa keluar 16 rangka manusia, peralatan batu, tembikar dan lain-lain.

Beliau berkata, 16 rangka manusia itu kini ditempatkan di Jabatan Warisan untuk kerja pemuliharaan dan konservasi serta penyelidikan lanjut manakala selebihnya disimpan di tempat khas di Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Semua penemuan berkenaan adalah hasil penyelidikan dan ekskavasi di 13 gua batu kapur yang terbabit dengan pembinaan projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri.

“Kerja penyelidikan dan ekskavasi ini dimulakan pada Mac 2022 dan berakhir Oktober tahun lalu, dalam tempoh itu penemuan terbesar kami adalah menjumpai satu rangka manusia yang lengkap di Gua Keledung Kecil berusia anggaran 14,000 hingga 16,000 tahun,” katanya di Pos Tohoi di sini.

Zaharudin turut menyarankan TNB untuk mewujudkan mini galeri di Gua Musang untuk mempamerkan khazanah negara termasuk artifak yang ditemukan di Nenggiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here