Pawagam berhati-hati, kekalkan kebersihan

Pembukaan semula operasi taman tema bermula Rabu ini bukan sahaja membuka ruang ekonomi penggiat industri tetapi turut memberi peluang kepada orang ramai untuk beriadah dan bersantai bersama keluarga.

Semasa mengumumkan kebenaran untuk subsektor itu beroperasi semula, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak 54 buah taman tema termasuk taman tema air dibenarkan beroperasi bermula 1 Julai ini, melibatkan lebih 10,000 tenaga kerja di seluruh negara, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Antara SOP utama ialah memastikan jarak sosial dipatuhi pada setiap masa, saringan suhu badan pengunjung di pintu masuk utama dan memastikan had jumlah pengunjung mengikut kapasiti ruang serta saiz kawasan taman tema.

Pengarah Eksekutif Taman Tema Sunway Calvin Ho berkata pengumuman kerajaan itu tiba tepat pada masanya memandangkan keadaan jangkitan Covid-19 dilihat semakin terkawal dan orang ramai berpeluang melakukan pelbagai aktiviti yang sebelum ini dilarang seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“Bagaimanapun, masih tetap perlu berhati-hati dan ikuti semua SOP. Kami di Sunway Lagoon, Selangor dan Lost World of Tambun di Perak akan pastikan pengunjung patuhi jarakan sosial ketika beriadah selain menyediakan cecair pembasmi kuman,” katanya.

 

Kapasiti Pengunjung Dibenarkan

 

Mengenai kapasiti pengunjung ke taman tema berkenaan, Ho berkata hanya 30 peratus atau kira-kira 15,000 pengunjung akan dibenarkan memasuki taman tema itu setiap hari.

“Jika sebelum berlaku Covid-19 dulu, pengunjung di Sunway Lagoon seramai 50,000 sehari,” katanya.

Selain itu Ho memaklumkan kolam-kolam mandi yang terdapat di taman tema berkenaan akan diperiksa secara lebih kerap termasuk diuji oleh kontraktor kawalan kualiti yang bebas.

“Kami sentiasa berhubung dengan Kementerian Kesihatan mengikut keperluan dan memastikan maklumat tepat disalurkan kepada orang awam secara konsisten,” katanya.

Pematuhan SOP Pawagam

Sementara itu, syarikat MBO Cinemas memberi jaminan akan memastikan protokol kebersihan diamalkan sepanjang masa, antaranya melaksanakan pembersihan dan pembasmian kuman di ruang legar pawagam, laluan pejalan kaki, kaunter pelanggan dan seluruh kawasan panggung sebelum dan selepas operasi.

Ketua Pegawai Operasinya Cheah Chun Wai berkata syarikat berkenaan akan memastikan semua SOP dipatuhi termasuk menyediakan kaunter pemeriksaan suhu badan dan menanda jarak sosial di kaunter tiket, kiosk makanan dan kaunter pemeriksaan tiket.

Berkenaan harga tiket untuk setiap tayangan, beliau berkata perkara itu akan diputuskan selepas mengambil kira keseluruhan proses persiapan yang dibuat bagi pembukaan semula operasi pawagam.

Menyentuh jumlah penonton yang akan dibenarkan berada di dalam sebuah panggung, Cheah berkata SOP membenarkan maksimum 250 penonton bagi setiap sesi bergantung pada keluasan panggung berkenaan.

Antara judul-judul filem yang bakal ditayangkan di MBO pada Julai ini ialah filem aksi Jepun, ‘Kaiji: Final Game’; filem komedi seram dari Thailand ‘Low Season’; dan filem seram Korea, ‘Train to Busan 2: Peninsula.’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here