Covid-19: Gombak ditakrif zon hijau

Setelah lebih tiga bulan ditakrif sebagai zon merah dan kuning, daerah Gombak di kategori sebagai zon hijau sifar kes aktif wabak koronavirus (Covid-19).

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi info grafik dimuat naik di Facebooknya memaklumkan, mukim Batu sebelum ini mempunyai satu kes aktif di daerah berkenaan.

“Mukim Labu dan Batu telah bersih daripada kes aktif yang menjadikannya zon hijau. Dengan itu, daerah Gombak juga menjadi daerah zon hijau keenam buat Selangor hari ini.

“Tahniah dan syabas warga Selangor! Sentiasa beringat bahawa virus Covid-19 masih wujud di tengah-tengah masyarakat dan kelalaian mengamalkan normal baharu mampu mencetuskan semula ledakan jangkitan,” menurut kenyataan itu.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, Selangor mencatat enam kes baharu menjadikan jumlah kes terkumpul sebanyak 2,076 kes.

Seramai 1,883 pesakit dilaporkan sembuh manakala empat kes masih aktif.

Jumlah kematian akibat dijangkiti virus itu kekal kepada 24 kes di Selangor dengan tiga daerah masih ditakrif sebagai zon kuning iaitu Petaling (dua kes) dan masing-masing Hulu Selangor dan Sepang satu kes.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meminta penduduk untuk terus mengekalkan disiplin mengamalkan langkah pencegahan Covid-19.

Menurutnya, enam kes baharu dilaporkan (semalam) adalah kes import iaitu tiga dari Indonesia dan masing-masing satu kes dari India, United Kingdom dan Rusia.

“Tahniah Selangor lebih banyak zon hijau dicapai, enam daerah sudah diklasifikasi sebagai zon hijau. Alhamdulillah daerah Gombak sudah bertukar ke zon hijau.

“Kekalkan disiplin, virus masih belum terhindar sepenuhnya sehingga vaksin ditemui,” katanya menerusi Twitter.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here