APA TINDAKAN KJ TERHADAP WARGA EMAS YANG REBAH DI LANTAI HOSPITAL, SOAL RAMASAMY

Pulau Pinang, Sept 1-

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy menyoal apa tindakan yang bakal diambil oleh Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin, dalam kes melibatkan kematian Ekambaram (74) seorang pesakit Covid-19 di wad Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani ketika cuba mendapat bantuan kakitangan perubatan.

Dalam hantaran Facebook, pemimpin DAP itu menyoal sama ada Khairy akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab kerana membiarkan warga emas itu mati, atau jika kematian itu akan menjadi sekadar “satu lagi angka” dalam kematian harian akibat Covid-19.

Ramasamy berkata, lelaki itu sepatutnya boleh diselamatkan jika ada kakitangan perubatan di wad Covid-19 berkenaan. Beliau turut menggesa supaya Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Othman Warijo meletak jawatan.

Katanya, maklum balas Othman terhadap kejadian itu bersifat tergesa-gesa dan sekadar penafian bahawa kakitangan hospital tidak mengendahkan pesakit berkenaan.

Klip video berdurasi 38 saat dikongsikan di media sosial menunjukkan pesakit itu cuba memaut pada katil pesakit lain sebelum rebah di wad hospital.

“Tentu beberapa minit berlalu dalam masa dia jatuh dan bangun semula, tetapi di mana petugas ketika itu. Kenapa mereka tiada di situ, adakah kerana mereka telah memutuskan pesakit sudah tidak boleh diselamatkan?

“Jika Othman tidak boleh bertanggungjawab, perbuatan bermaruah adalah supaya beliau meletak jawatan. Kakitangan yang sepatutnya berada di situ juga wajar dipecat kerana gagal menjalankan tugas,” katanya.

Klip video berdurasi 38 saat itu tular di media sosial semalam menunjukkan pesakit yang melutut di lantai hospital cuba memaut katil untuk berdiri.

Video itu kemudian menunjukkan pesakit terbabit terbaring kaku dengan beg air kencing di sebelahnya, manakala seorang lagi pesakit dilihat cuba menghampiri dan memeriksanya.

Individu yang memuat naik video itu mendakwa pesakit Covid-19 berkenaan dibiarkan tanpa dipedulikan petugas wad sehingga disahkan meninggal dunia 40 minit kemudian.

Othman bagaimanapun menafikan petugas hospital lambat memberi bantuan, selain menegaskan jabatan itu sedang mengumpulkan maklumat mengenai kejadian itu, selain mengadakan perbincangan dengan kakitangan terlibat bagi melengkapkan siasatannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here