Inkues Nora Anne bermula hari ini

SEREMBAN, 24 OGOS:

Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin, akan didengar di Mahkamah Koroner di Kompleks Mahkamah Seremban, hari ini.

Prosiding berkenaan akan dijalankan dihadapan Koroner Maimoonah Aid, bermula pukul 9 pagi.

Bagi perjalanan inkues, mahkamah menetapkan hanya sembilan wartawan dibenarkan berada di dalam galeri awam untuk mengikuti dan membuat liputan kes berkenaan setelah mengambil kira faktor penjarakan fizikal yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Wakil media tempatan dari pelbagai agensi dilihat mula berkumpul di pekarangan mahkamah seawal 8 pagi bagi mengikuti prosiding kes yang mendapat liputan meluas itu.

Turut kelihatan ialah Ketua Polis Daerah Nilai Mohd Nor Marzukee Besar.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Jumaat lepas dipetik sebagai berkata Badan Kehakiman Malaysia akan menyiarkan prosiding berkenaan secara langsung di portal rasmi dan media sosial rasmi badan berkenaan dan orang ramai boleh menyaksikannya, mulai 9 pagi.

Prosiding berkenaan akan berlangsung selama dua minggu bermula hari ini sehingga 28 Ogos dan bersambung pada 1 hingga 4 Sept dengan seramai 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Pada 13 Ogos lepas, Koroner Maimoonah bersama beberapa pihak berkepentingan dalam kes berkenaan meluangkan masa selama tiga jam melawat lokasi kejadian untuk melihat secara terperinci bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang kejadian itu.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai, kira-kira 60 kilometer (km) di selatan ibu negara.

Mayat Nora Anne, ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 km dari resort penginapannya bersama keluarga pada 13 Ogos tahun lepas, susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan.

Laporan awal bedah siasat menyatakan, kematian remaja berkenaan yang merupakan golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus, yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here