Hari Kebangsaaan 2020 dalam norma baharu penuh makna

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Diiringi semangat cintakan tanah air yang membara, sambutan Hari Kebangsaan 2020 berlangsung di Dataran Pahlawan Negara di sini hari ini dalam persekitaran norma baharu – namun tetap penuh bermakna – ketika negara masih berjuang mendepani pandemik Covid-19.

Bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ dengan atur cara sederhana, kehadiran di Dataran Pahlawan Negara yang julung kali dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan terhad kepada dif kehormat, anggota keselamatan dan petugas bagi memastikan majlis berjalan mengikut prosedur operasi standard.

Hadirin perlu melakukan saringan suhu badan dan mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera serta memakai pelitup muka sebagai langkah mencegah penularan wabak Covid-19, manakala kerusi untuk dif kehormat disusun dengan jarak satu meter antara satu sama lain sebagai mematuhi penjarakan fizikal.

Meskipun rakyat Malaysia tidak dapat menyaksikan detik penting negara itu di lokasi seperti kebiasaan pada setiap tahun, mereka tetap berpeluang mengikuti sambutan ulang tahun tersebut secara langsung melalui televisyen dan laman media sosial.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2020, tiba di Dataran Pahlawan Negara pada 8 pagi, dan ini disusuli nyanyian lagu keramat, Negaraku, sebagai menandakan bermulanya acara sambutan.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan isteri, Datin Norlin Shamsul Bahri.

Usai Negaraku, Seri Paduka berdua kemudian berangkat ke Dewan Serbaguna Dataran Pahlawan Negara di mana Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan Titah Diraja bersempena Hari Kebangsaan 2020 yang merupakan tumpuan utama sambutan tahun ini.

Ini merupakan kali kedua ketua negara ini menyampaikan Titah Diraja pada sambutan ulang tahun kemerdekaan.

Titah Diraja pertama disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong keempat Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah pada 31 Ogos 1970 serentak dengan perisytiharan Rukun Negara.

Sebelum Titah Diraja itu, hadirin di Dewan Serbaguna Dataran Pahlawan Negara dipertontonkan dengan cuitan siaran langsung Hari Kebangsaan 2020 yang disiarkan stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang ditayangkan pada skrin besar.

Dalam Titah Diraja itu, Yang di-Pertuan Agong menegaskan lima prinsip Rukun Negara adalah formula rakyat berbilang bangsa hidup secara rukun dan damai, dan prinsip tersebut seharusnya menjadi panduan serta amalan oleh semua pihak termasuk pemimpin negara, kerajaan dan rakyat Malaysia.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara, Seri Paduka turut mengajak seluruh rakyat untuk menghargai serta menjaga kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi negara.

Selesai bertitah, Seri Paduka kembali bersemayam dan menonton siaran sambutan Hari Kebangsaan 2020 yang disiarkan RTM bersama hadirin.

Hadirin dipertontonkan dengan rakaman perarakan 63 ekor kuda daripada pelbagai agensi yang membawa Jalur Gemilang diketuai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim dari Jambatan Putra ke Dataran Putra, Presint 1 di sini.

Ini diikuti acara penyerahan bendera kepada kumpulan Penaik Jalur Gemilang oleh Pengerusi Ekuestrian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kol Norazrin Shamsudin. Acara kemudian diteruskan dengan menaikkan Jalur Gemilang.

Program siaran diteruskan dengan bacaan ikrar di Dataran Tugu Negara, Kuala Lumpur diketuai oleh Dr Izwan Effendy Zainuddin daripada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan disertai 66 petugas barisan hadapan.

Petugas barisan hadapan terlibat adalah daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Penerangan, Kementerian Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Sambutan diteruskan dengan siaran dendangan lagu Malaysia Prihatin yang digubah oleh Ketua Perkhidmatan Muzik RTM Datuk Mokhzani Ismail dan lirik ditulis El Sol Akhmad.

Lagu nyanyian empat penyanyi terkenal tanah air – Aina Abdul, Siti Sarah Raisuddin, Alif Satar dan Syamel – di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu dicipta sebagai penghargaan kepada barisan hadapan dan rakyat Malaysia yang bersatu hati bersama kerajaan mendepani pandemik Covid-19.

Turut ditampilkan ialah kapsul pengkisahan barisan hadapan, rakaman segmen perbarisan kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur dan segmen persembahan Jalur Gemilang di Dataran Merdeka.

Segmen perbarisan PDRM itu turut mengetengahkan aset dan helikopter PDRM yang dilihat melintasi ruang udara Pulapol serta demonstrasi kemahiran seni mempertahankan diri Pasukan Simpanan Persekutuan dengan menggunakan perisai dan cota tanpa sebarang senjata api.

Turut dipertontonkan ialah segmen garaj maya PDRM yang menonjolkan aset-aset pasukan marin PDRM termasuk bot ronda PC31 yang diperoleh tahun lepas.

Seri Paduka berdua berangkat meninggalkan majlis kira-kira 9.40 pagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here