36 pelancong Malaysia cedera bas terbabas di Thailand

Bangkok, Feb 23.
Seramai 36 pelancong Malaysia dilaporkan cedera selepas bas persiaran dinaiki mereka terbabit nahas jalan raya di daerah Bo Phloi, Kanchanaburi, di barat Bangkok, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 1.20 tengah hari (waktu tempatan) ketika sekumpulan rakyat Malaysia berusia antara empat hingga 70 tahun dalam perjalanan selepas melawat Taman Safari di Kanchanaburi.

Pemandu bas dan pemandu pelancong, kedua-duanya warga tempatan turut cedera dalam kejadian itu. Seorang daripada ahli kumpulan itu, Hisyam Rahim berkata nahas berlaku ketika pemandu bas cuba memotong sebuah lori sebelum hilang kawalan dan terbabas.

“Seramai 35 lagi rakyat Malaysia yang mengalami kecederaan ringan pulang ke hotel selepas menerima rawatan di hospital,” katanya kepada Bernama.

Kumpulan itu sedang mengikuti lawatan ke Thailand dari 21 hingga 24 Feb.

Sementara itu, Duta Malaysia ke Thailand Jojie Samuel berkata sebaik menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan, kakitangan konsular kedutaan telah ke Kanchanaburi pada hari sama untuk memberikan bantuan diperlukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here