Kondo milik Jackie Chan disita, dilelong RM43.6 juta

Dua unit apartmen mewah milik pelakon terkemuka Hong Kong, Jackie Chan di ibu kota China disita dan bakal dilelong berikutan isu pertikaian hak milik dari segi perundangan.

Menurut laporan portal berita tempatan Qingliu pada 28 Ogos lalu, hartanah elit tersebut kini diletakkan dalam senarai bidaan laman sesawang firma lelongan di bandar raya berkenaan.

Kedua-dua kediaman itu yang terletak dalam daerah Dongcheng di timur Beijing dikhabarkan bakal dibuka kepada awam untuk bidaan dengan nilai permulaan 71.9 juta yuan (RM43.6 juta).

Hartanah ini dikatakan pernah jadi rumah keluarga aktor itu sejak 2007 dan ia merupakan unit gabungan dengan keluasan 1,217 meter persegi yang ada enam bilik tidur serta tiga ruang tamu.

Nilai semasa dianggarkan 100 juta yuan (RM60.6 juta) dan berdasarkan makluman daripada laman tersebut, sesi lelongan kondominium itu hanya akan bermula pada 28 September depan.

Bagaimanapun, lebih 600 pengguna berdaftar sudah menyatakan minat sejak petang 30 Ogos setelah tular dalam kalangan netizen tempatan mengenai kisah pemilik sebenar unit berkenaan.

Hartanah ini dijual kepada Chan pada akhir 2007 oleh syarikat pemaju Yujia Real Estate, dengan harga 33.6 juta yuan (RM20.4 juta) atas kerja promosi dijalankan beliau bersama syarikat itu.

Namun, setelah Chan dan keluarganya tinggal selama lebih 10 tahun, firma Beijing itu tidak beri sebarang kertas hitam putih bagi urusan pemindahan hak milik rumah berkenaan kepada beliau.

Situasi bertambah malang kerana pada masa sama, sebuah lagi pemaju hartanah tempatan, Tenhong Real Estate Group, juga mengemukakan tuntutan timbang tara terhadap pihak Yujia.

Ia berhubung kes pertikaian hutang dan sebuah mahkamah di Beijing kemudian memerintahkan kesemua aset syarikat itu perlu disita termasuk dua unit rumah yang dibeli oleh Chan tersebut.

Chan, 66, ialah pelakon aksi tidak asing di peringkat global, tetapi baru-baru ini, beliau dikecam warga Hong Kong ekoran pandangan politik pro-Beijing tindas gerakan demokrasi di pulau itu.

Peliknya, menurut laporan portal itu lagi, pihak berkuasa China sendiri dan syarikat pemaju terbabit bagaimanapun tidak keluar sebarang kenyataan berhubung isu lelongan tersebut.

Dalam pada itu, lapor beberapa agensi berita tempatan, unit berkenaan merupakan rumah sama yang dikaitkan kes jenayah dadah melibatkan anak lelaki pelakon itu, Jaycee Chan pada 2014.

Beliau atau lebih dikenali Jaycee Fong Cho-ming, ditangkap bersama pelakon Taiwan, Ko Chen-tung, atas kesalahan salah guna ganja dan ia jadi kes jenayah narkotik profil tinggi di China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here