Lebih 47 peratus kawasan terima bekalan air

SHAH ALAM, 6 SEPT: Sebanyak 47.83 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual pulih sepenuhnya, maklum Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri memaklumkan sebanyak 618 kawasan menerima bekalan air setakat jam 12.30 tengah hari manakala 674 kawasan dalam proses pemulihan.

“Wilayah Petaling pulih sebanyak 57.2 peratus, Klang/Shah Alam (24.2 peratus), Gombak (11.3 peratus), Kuala Lumpur (41.3 peratus), Hulu Selangor (94.1 peratus), Kuala Langat (50 peratus) sementara Kuala Selangor (93.5 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah sejak 3 September lalu susulan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Sementara itu, Elina menasihatkan pelanggan yang sudah menerima bekalan air menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar.

“Pengguna juga diminta memberi kerjasama baik kepada warga kerja Air Selangor yang bertugas memberikan bantuan bekalan air alternatif di kawasan yang masih mengalami gangguan,” katanya lagi.

Status terkini gangguan bekalan air boleh didapati melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here