Salur RM2.3 juta sejak 2017, tambah baik prasarana Morib

SHAH ALAM, 6 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib giat menambah baik pelbagai prasarana pelancongan membabitkan peruntukan RM2.3 juta di kawasan itu sejak 2017.

Sebanyak RM564,066 dibelanjakan bagi menaik taraf dan pembaikan perpaipan tandas awam dan kemudahan tempat makan (RM180,000) di pantai Morib manakala membaik pulih tandas awam di pantai Kelanang (RM33,518) dan menaik taraf sistem pencahayaannya (RM417,309).

Hasnul Baharuddin, wakil rakyat penggal kedua sejak 2013, juga meningkatkan prasarana di Bukit Jugra yang pengunjungnya mencecah 1,000 orang pada hujung minggu berbanding hanya 100 sebelum ini.

“Usaha meningkatkan kemudahan itu dibuat kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib berpotensi menjadi destinasi pelancongan terkemuka yang tempiasnya bakal dirasai penduduk menerusi pertambahan peluang ekonomi.

“Sebab itu, saya bangkitkan ketiadaan tempat makan selesa di pantai Morib dan Kerajaan Negeri kemudian meluluskan peruntukan RM180,000. Begitu juga pencahayaan di pantai itu dan dataran di Pantai Kelanang yang kurang baik,” katanya kepada SelangorKini.

Hasnul menjelaskan DUN itu juga mempunyai tarikan lain seperti Istana Bandar, Muzium Insitu Jugra dan Masjid Sultan Alaeddin yang terkenal dengan sejarahnya.

“Ia harus dipelihara pihak berwajib dan kemudahannya juga boleh dipertingkatkan selain promosi serta pengisian sejarahnya diperkemaskan lagi untuk tatapan pengujung,” katanya.

Beliau juga tidak lupa untuk membantu industri pembuatan kerepek di Kanchong Darat yang turut menggamit selera pengunjung lantaran keunikannya.

Prasarana pendidikan

Timbalan speaker Dewan Negeri Selangor juga menambah baik prasarana sekolah membabitkan peruntukan RM200,000 antaranya penurapan dataran di Sekolah Rendah Agama Sungai Buaya dan pembinaan dewan serta kemudahan lain di Sekolah Rendah Agama Integrasi Sungai Manggis.

Beliau juga meningkatkan kemudahan beberapa sekolah termasuk membina pagar di tingkat dua dan tiga di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Lanang untuk keselamatan murid berikutan keadaan kaki lima luar kelas agak rendah.

Selain itu, Hasnul turut memberi perhatian terhadap kemudahan jalan raya, masjid, surau dan balai raya untuk kegunaan pelbagai lapisan masyarakat.

“Kalau ada yang tidak boleh mendapat dana daripada agensi kerajaan, kita guna peruntukan ADN demi manfaat orang ramai,” katanya lagi.

Hasnul juga tidak lokek untuk membelanjakan peruntukan untuk penduduk terjejas ketika wabak Covid-19 melanda negara melalui pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin fasa satu hingga tiga.

Beliau juga menjelaskan kira-kira 5,000 penduduk mendapat manfaat langsung melalui Inisiatif Peduli Rakyat yang ditawarkan Kerajaan Selangor antaranya:-

– 1,700 orang menerima kad Peduli Sihat
– 380 orang mendapat kad Kasih Ibu Smart Selangor
– 600 waris menerima khairat kematian melalui Skim Mesra Usia Emas
– 3,000 warga emas menerima baucar Jom Shopping pada musim perayaan
– Mahasiwa menerima manfaat program hadiah IPT
– 100 usahawan mendapat bantuan perniagaan dan pembiayaan Hijrah Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here