Sanggup terjun tingkap, tinggal dua guni pil kuda RM3.2 juta

Seorang tukang cat bertindak melarikan diri dengan terjun melalui tingkap dan meninggalkan dua guni berisi 318,229 pil kuda bernilai RM3.2 juta selepas diserbu polis di sebuah rumah di Kampung Chabang Empat di sini Jumaat lalu.

Cubaan suspek dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah berusia 46 tahun itu untuk meloloskan diri bagaimanapun gagal apabila dia berjaya ditahan hasil kecekapan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tumpat.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, sebaik tiba di rumah berkenaan pada jam 9.20 malam, polis memperkenalkan diri, lalu suspek bertindak lari dan terjun melalui tingkap rumah.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan pasukan anggota yang sudah siap sedia menunggu di bahagian luar rumah.

“Pemeriksaan menjumpai 229 pil kuda atas lantai dalam sebuah bilik rumah berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tumpat di sini hari ini.

 

Beliau berkata, berpandukan suspek, dua bungkusan guni berisi 318,000 pil kuda ditemui di bahagian bawah rumah menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 318,229 biji pil kuda dengan nilai RM3.2 juta.

“Berdasarkan siasatan awal polis mendapati suspek menggunakan modus operandi menyeludup dadah menerusi laluan air di Sungai Golok dan kemudian dibawa ke rumahnya sebagai lokasi transit sebelum diedarkan kepada pengedar kecil-kecilan.

“Suspek tinggal di rumah tersebut bersama ibu yang berusia 70-an dan urin suspek didapati positif dadah jenis metamphetamine, namun tidak memiliki rekod lampau,” katanya.

Tambah beliau, polis tidak menolak suspek bergerak secara berkumpulan dan terbabit dengan sindiket berdasarkan sejumlah besar dadah yang ditemui.

“Susulan itu, suspek ditahan reman tujuh hari bermula bermula Sabtu lalu sehingga Jumaat ini.

“Kes disiasat membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, rampasan tersebut merupakan kedua terbesar direkodkan di daerah berkenaan sepanjang tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here