Pemuda Hilang Di Bukit Apek, Cheras Dijumpai Mati

Seorang pemuda yang hilang sejak pagi tadi ketika beriadah di kawasan Bukit Apek, Cheras ditemukan mati pada 7.15 malam ini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata mangsa yang dikenali sebagai Anup Philip Philipose, 21, ditemukan kira-kira 300 meter dari tempat permulaan kawasan riadah itu dalam keadaan tertiarap selepas dipercayai terjatuh dan kakinya tersangkut di celah batu.

“Mayat mangsa telah berjaya dibawa turun dari bukit berkenaan pada jam 8.30 malam dan dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM) untuk bedah siasat bagi mencari punca kematian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Hulu Langat Zafiruddin Mohd Nasir berkata pihak bomba telah dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa oleh polis pada 3.45 petang tadi dan telah bergegas ke tempat kejadian.

Zafiruddin berkata pasukan bomba dan polis bertindak membuat pencarian di sekitar Bukit Apek dan menubuhkan sebuah bilik gerakan operasi di Bukit Hartamas yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah mangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here