Malaysia-Singapura bincang pembukaan penuh sempadan

Perbincangan tentang pembukaan sempadan dengan Malaysia sedang berlangsung, demikian menurut Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian mengenai Covid-19 Singapura Lawrence Wong.

“Kami meneruskan perbincangan kami membabitkan semua, sama ada ulang-alik harian atau perluasan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL),” katanya dalam sidang media secara maya, semalam.

Wong berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada Singapura sedang meneliti garis masa yang sama dengan Malaysia berhubung pembukaan penuh sempadan bagi ulang-alik harian pada Januari ini.

Pada 11 September lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia dilaporkan berkata sedang meneliti kemungkinan membuka sepenuhnya sempadan Malaysia-Singapura bagi ulang-alik harian pada Januari.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba juga dilaporkan berkata kementerian itu meneliti untuk menggandakan kemampuannya menjalankan ujian swab bagi mereka yang memanfaatkan inisiatif RGL dan PCA.

“Perbincangan ini sedang berjalan dengan rakan sejawatan kita dari Malaysia dan apabila kita sudah ada perkembangan terkini kita akan maklumkan kepada umum,” kata Wong yang juga menteri pendidikan republik ini.

Sementara itu, berikutan bilangan kes dalam komuniti kekal rendah, pasukan petugas tersebut antara lain mengumumkan akan melonggarkan langkah-langkah bagi mempermudah operasi perniagaan dengan menyokong perjalanan perniagaan perlu.

Pasukan petugas itu berkata ia memperkenalkan pas perjalanan perniagaan baharu bagi eksekutif kanan di Singapura yang mempunyai tanggungjawab serantau atau antarabangsa dan perlu kerap mengembara bagi tujuan rasmi dan perniagaan.

Pengembara dalam kategori ini akan diperlukan mematuhi itinerari terkawal yang ketat apabila mereka ke luar negara untuk tujuan kerja, kata pasukan itu.

Sebaik kembali ke negara ini, meraka akan diberi pilihan menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai ganti notis kuarantin di rumah dan pengasingan kendiri sehingga keputusan ujian diperoleh.

Pasukan petugas itu berkata untuk fasa permulaan ini, bilangan pas tersebut akan dihadkan bagi membolehkan ia memantau kesan terhadap kesihatan awam susulan pelaksanaan inisiatif rintis berkenaan.

Jika projek rintis ini berjaya, ia akan menimbang untuk memperluas skim itu, kata pasukan petugas berkenaan.

Keseluruhannya, bilangan kes baharu jangkitan dalam komuniti di negara ini kekal stabil pada purata satu kes sehari sejak dua minggu lepas.

Setakat tengah hari tadi, republik ini yang dalam fasa kedua pembukaan semula kegiatan ekonomi dan sosialnya merekodkan 12 kes baharu Covid-19 termasuk satu jangkitan dalam komuniti dan empat kes import.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan kes terkumpul berjumlah 57,639.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here